Friday, 28 August 2015

TIP BERKEBUN DI RUMAH....

NI HASIL DARI BLOG KEBUN BANDAR


10 tip berjaya berkebun di rumah


Pada hari yang cerah dan nyaman, anda terasa ingin berkebun. Sebelum anda pergi mencangkul dan membuka paket biji benih, apa kata lihat tip-tip ini untuk anda berjaya berkebun.


1. Pengubahan anak benih (transplanting seedlings)
Sesetengah biji benih perlu disemai dahulu pada talam semaian sebelum boleh pindah tanam di kebun. Apabila anak benih sudah mengeluarkan 2-3 helai daun sebenar, sudah tiba masanya aktiviti pengubahan berlangsung.
Ketika pengubahan, “Jangan pegang batang anak benih kerana batang itu adalah nyawanya,”  jelas Puan Zaleha Ujang, pegawai pengurus ladang sayur Taman Pertanian Universiti, Universiti Putra Malaysia. Pegang daun anak benih, “Kerana daun boleh tumbuh semula,” tambah beliau lagi.


2. Pengerasan (hardening)
Pengerasan ialah satu proses penyesuaian anak benih sebelum ia dipindahkan sepenuhnya ke atas batas. Pastikan anak benih selesa dengan persekitaran kebun sebelum pindah sepenuhnya atas batas. Sekurang-kurangnya seminggu sebelum pindah atas batas letakkan anak benih di kebun. Teduhkan ia dahulu dan kemudian barulah pindahkan ia sepenuhnya di atas batas
.
3. Masa penanaman
Suasana yang redup dan nyaman adalah waktu yang sesuai untuk pengubahan anak benih dilakukan iaitu di awal pagi ataupun lewat petang. Ini bagi memastikan anak benih kepanasan dek kerana pancaran cahaya matahari.
Siram talam benih atau bekas sehari sebelum pindah anak benih ke atas batas.


4. Di kebun
Ketika pengubahan berlangsung, pastikan anak benih berada dalam keadaan teduh. Korek lubang dahulu. Jika tak dapat tarik anak benih dari talam semaian dengan daunnya, tonggengkan talam semaian dan pegang tanah keliling anak benih. Atau korek keliling anak benih dan pastikan akar tidak tercedera.
Tanam setara atau sedikit dalam di tanah seperti mana semasa anak benih di atas bekas semaian. Jika tanah terlalu lembab ia boleh menyebabkan batang reput.
Untuk tomato, tanam dalam lebih dalam. Kajian oleh Pusat Kajian dan Pendidikan Florida mendapati anak benih tomato yang ditanam sehingga ke paras daun sebenar pertamanya berbuah awal dan menghasilkan tomato yang lebih besar dan banyak berbanding tomato yang ditanam melepasi akarnya sahaja.
Tekan sedikit tanah keliling anak benih agar padat tapi jangan terlalu padat sehinggakan air tidak dapat meresap masuk. Siram setiap anak benih kemudiannya.


5. Hari pertama
Anak benih memakan masa 2-3 hari atau berminggu sebelum ia menyesuaikan diri di kebun anda. Jika ada daun layu atau batang bengkok menunjukkan itu gejala kejutan pengubahan. Ia berlaku apabila proses pengerasan tak dilakukan dengan lengkap atau cuaca yang ekstrem seperti panas melampau atau hujan lebat.

Kebanyakan tumbuhan akan kembali pulih beberapa hari kemudian. Untuk itu, pastikan,
  • tanah sekelilingnya padat supaya tiada gelembung udara yang akan mengeringkan akar pokok.
  • lindungi anak benih dari pancaran terik matahari dan hujan lebat dengan sungkupan.
  • siram apabila 3 cm tanah atas mulai kering. Jangan siram jika ia basah, kerana ia tidak membantu langsung.
Dalam buku The New Starters Handbook (Rodale, 1988), penulis Nancy Bubel menyarankan agar tunggu sekitar seminggu hingga 10 hari selepas pengubahan sebelum membaja. Anak benih akan mengeluarkan akar yang menyerap makanan setelah itu dan ketika itulah pertumbuhan rancak berlaku. Disarankan untuk menyembur baja foliar, jika ada.


6. Semai terus
Selalunya untuk biji benih murah dan mudah didapati di pasaran seperti kangkung, jagung dan bayam. Semai sedikit dahulu di atas batas untuk lihat percambahan. Jika menjadi, barulah semai semua.


7. Kedalaman penanaman
Tanam terlalu dalam, biji benih tak bercambah, manakala tanam terlalu cetek, biji benih hanyut dibawa hujan atau dimakan haiwan.
Umumnya, tanam biji benih besar dengan kedalaman 3 kali diameternya (bukan panjang). Biji benih seperti kangkung, jagung, kacang panjang dan timun dikira biji benih besar.
Untuk biji benih halus seperti bayam dan sawi, gaulkannya dengan pasir halus dan tabur di atas batas atau bekas semaian.
Sesetengah biji benih seperti salad memerlukan cahaya untuk bercambah. Letakkan sedikit pasir halus di atas biji benih atau biarkan sahaja atas tanah atau bekas semaian. Namun pastikan ia melekat pada tanah dengan menekannya sedikit.


8. Batas atau tiada batas
Jika tanah di kebun anda selalu banjir atau berlopak, pembuatan batas adalah amat digalakkan. Jika tak, hanya gemburkan kawasan penanam sudah memadai. Penyediaan batas akan memudahkan pengendalian untuk mengawal rumpai nanti.


9. Sebelum mula
Sediakan satu buku khas bagi mencatat jurnal penanaman anda. Ia tidak wajib tapi semestinya ia dapat membantu anda untuk musim penanaman seterusnya.
Adalah satu perkara asas untuk menetapkan jenis sayur yang ingin ditanam dan lokasi penanaman agar memudahkan jadual perancangan penanaman nanti.
Penglabelan nama dan tarikh pada penanda untuk diletakkan pada anak benih selepas pengubahan membantu catatan jurnal nanti.
Jika kasut anda penuh dengan tanah melekat padanya, ia petanda tanah kebun anda terlalu basah untuk aktiviti pengubahan atau semai terus dilakukan. Tunggu sehingga ia kering.


10. Gemburkan kembali
Telah beberapa minggu berlalu aktiviti anda menggembur dan membentuk batas di kebun. Tanah kebun anda mungkin telah mengeras dek hujan dan panas matahari yang memancar. Gemburkan ia kembali (juga jangan lupa untuk merumpai). Walaupun begitu cangkul hanya sedikit sahaja kerana jika terlebih gembur akan merosakkan Tanah.

No comments: