Sunday 9 August 2015

APA YANG IBU BAPA PERLU BUAT KETIKA ANAK2 SEDANG MENGHADAPI PEPERIKSAAN...


Amboi....panjangnya tajuk blog hari ni...
he..he..he...
Hari ni...lagi 6 minit..anak Lin akan memghadapi peperiksaan percubaan spm...mak nya yang lebih takut...takut tau bila anak periksa ni...lg takut masa nak ambil keputusan periksa ..macam ni lah agaknya perasaan mak2 kita dl...bapa2 risau tak????macam tak jea...tak pe lah...biar mak2 jea yang risau...kalau dedua risau..lagi haru jadinya...mak ni lebih emosional..nak bagi amanat terakhir kat anak pun dah meleleh air mata...belum lagi anak tu kahwin...oh...tak terbayang lagi situasi tu...

ok...ni Lin kongsikan serba banyak tips untuk ibu bapa...lin "copy paste" jea...jom kita lakukan bersama2..semoga anak 2 kita berasa kita sentiasa berada dengan mereka ketika mereka susah dan senang...

DOA IBU BAPA UNTUK ANAK MENGHADAPI PEPERIKSAAN
Ya Allah, Ya Tuhan Kami,

Kami mohon keampunan Mu, kami mohon kerahmatan Mu, kami mohon taufik dan hidayah Mu ya Allah.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,

Kau ampunkanlah dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa anak anak kami, dosa saudara mara kami, dosa ahli keluarga kami, dosa guru guru kami dan dosa semua kaum muslimin dan muslimat.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,

Permudahkan urusan kami di dunia dan urusan kami di akhirat. Jadikanlah kami manusia yang sentiasa bersyukur kepada Mu. Jadikanlah kami manusia yang sentiasa mencintai Mu ya Allah. Ya Allah, jadikanlah apa yang kami lakukan ini sebagai suatu amal ibadah yang diterima Mu.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,

 Ikhlaskan hati anak anak kami untuk mempelajari ilmu Mu. Tetapkan niat dihati mereka agar apa yang mereka lakukan ini semata mata kerana Mu ya Allah. Semata mata kerana Mu ya Allah. Semata mata kerana Mu ya Allah.

Ya Allah,

Kami mohon kepada Mu, permudahkanlah mereka faham apa yang diajar oleh guru-guru mereka ketika mereka berada di dalam kelas. Lapangkanlah dada mereka untuk menerima ilmu Mu ya Allah.

Ya Allah,

Tidak lama lagi, anak anak kami akan menduduki peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan peperiksaan-peperiksaan lain ya Allah. Kami mohon kepada Mu ya Allah, bantulah anak anak kami dalam peperiksaan yang akan mereka hadapi ya Allah.

Ya Allah,

Peliharalah kesihatan anak anak kami dihari peperiksaan nanti. Permudahkanlah mereka menjawab soalan ketika peperiksaan nanti. Berikanlah ketenangan kepada mereka ketika menjawab soalan, jauhilah mereka daripada perasaan resah dan gelisah ketika menjawab soalan peperiksaan. Dorongkanlah hati mereka untuk menjawab setiap soalan sepertimana skema jawapan.

Ya Allah Ya Tuhan Kami,

Lembutkanlah hati pemeriksa yang memeriksa kertas jawapan anak kami nanti. Dorongkanlah hati dia untuk memberi markah yang lebih kepada anak anak kami. Tutuplah matanya daripada melihat kesalahan yang anak kami lakukan.

Ya Allah,

Berilah keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan anak anak kami. Mudah-mudahan dengan keputusan yang cemerlang ini, mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi, semoga ia sebagai pembuka jalan untuk mereka menjadi hamba Mu yang soleh dan menghampirkan diri mereka kepada Mu.

Jadikanlah anak anak kami pelajar yang cemerlang ya Allah, cemerlang di dunia dan cemerlang di akhirat. Kami mohon kepada Mu, Kau perbaikilah akhlak anak anak kami. Jadikanlah mereka pelajar yang cemerlang dan mempunyai sahsiah diri yang baik. Tanamlah sifat mahmudah dalam diri mereka dan buanglah sifat mazmumah dalam diri mereka.

Ya Allah, jadikanlah anak anak kami seorang pemimpin di kalangan orang yang bertakwa.

Ya Allah,

Apa yang kami doakan ini bukan untuk diri anak anak kami sahaja, tetapi apa yang kami doakan ini juga untuk anak anak sahabat ku ya Allah. Berikanlah mereka kejayaan yang cemerlang di dunia dan di akhirat.

Ya Allah,

Sesungguhnya, anak kami inilah harapan kami. Kami mahu mereka Berjaya ya Allah. Kami mahu mereka mengubah nasib keluarga kami ya Allah. Berikanlah taufik dan hidayah Mu yang berkekalan ya Allah.

Ya Allah,

Jadikanlah anak kami anak yang soleh ya Allah. Yang menyejukkan mata kami memandangnya ya Allah. Jadikanlah anak kami ahli syurga ya Allah. Dorongkanlah hati mereka untuk melakukan amalan amalan yang membawa mereka ke syurga Mu ya Allah.

Jauhkanlah hati mereka daripada melakukan amalan amalan yang membawa mereka ke neraka Mu ya Allah. Tetapkan lah hati mereka untuk menunaikan solat. Janganlah Kau melalaikan mereka dengan perkara perkara yang tidak berfaedah ya Allah.
Ya Allah,

Kami tidak mampu untuk mengawasi anak anak kami setiap waktu ya Allah. Kami serahkan anak kami untuk berada dibawah penjagaan Mu ketika mereka tidak bersama kami ya Allah. Gerakkanlah hati mereka untuk berada di tempat tempat yang Engkau redhai. Dan jauhilah mereka daripada berada di tempat tempat yang Engkau murkai.

Ya Allah,

Perkenankanlah doa doa kami ini. Kami memohon kepada Mu kerana Engkaulah tuhan kami. Kami meminta kepada Mu kerana Engkaulah yang menciptakan kami. Kami merayu kepada Mu kerana Engkaulah yang Maha Mengkabulkan doa doa kami ini.

Jika Engkau tidak memakbulkan doa kami ini, siapa lagi yang akan memakbulkannya. Jika Kau tidak mendengar doa kami ini, siapa lagi yang akan mendengarnya. Bantulah kami ya Allah. Ya Rahman. Ya Rabbul Alamin.


Ketika anak-anak sedang menghadapi ujian besar amali atau menjawab kertas soalan di dewan peperiksaan, pada masa yang sama ibubapa dan penjaga boleh melakukan amalan berikut: 
.

1.  Ambil wuduk

2.  Menghadap kiblat

3.  Membaca Kalimah Syahadah (3 kali)

“Daku mengakui bahawa tiada tuhan yang sebenarnya melainkan Allah
dan daku mengaku bahawa Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah!”
 .

4.  Membaca Surah Al-Fatihah (10 kali)

.

5.  Baca Surah 3 Qul (1 kali)

.

6.  Baca Surah Insyirah (1 kali)

.

7.  Membaca Selawat (10 kali)

.

8.  Baca Surah Yaasin (1 kali)

.

9.  Baca Surah Insyirah (100 kali)


.
10.  Niatkan di dalam hati supaya Allah SWT mempermudahkan anak-anak menjawab soalan dengan tenang, betul, tepat dan sempurna.
 .
Amalan ini boleh dilakukan sama ada di rumah atau di tempat kerja atau di mana sahaja ketika anak-anak sedang berada di dewan peperiksaan. InsyaAllah, segalanya dipermudahkan dan anak-anak akan dapat menjawab dengan tenang dan menepati kehendak soalan dengan mudah dan baik.
Bila anak-anak sedang menduduki peperiksaan, ibubapa juga turut terheret sama. Resah gelisah, risau takut anak tak dapat jawab soalan dan sebagainya sering menghantui.
 
Ada ibubapa yang mengambil cuti daripada kerja kerana untuk memberi sokongan moral kepada anak-anak yang sedang menduduki peperiksaan ini. Banyak dilihat di dalam status Facebook dan Twitter ibubapa yang berkongsi perasaan gementar dan takut mereka. Seolah-olah ibubapa pula yang menduduki peperiksaan.
 
Sebenarnya selain daripada sokongan moral, sokongan dalam bentuk spiritual juga boleh membantu anak-anak kita menduduki peperiksaan dengan tenang. Kita juga insyaAllah akan terasa tenang kerana sokongan spiritual ini adalah dalam bentuk kita berusaha meminta doa daripada Allah.
Ia juga adalah bentuk tawakkal setelah usaha kita membantu anak kita belajar dan usaha anak kita belajar dengan bersungguh. Apa-apa yang berlaku sebagai natijah kita serahkan semuanya kepada Allah. Sesungguhnya Dialah yang maha merancang dan maha mengetahui atas segala sesuatu.
Antara sokongan spiritual dan amalan yang boleh ibubapa lakukan semasa anak – anak di dalam dewan peperiksaan tidak kiralah peperiksaan UPSR, PMR, SPM ataupun peperiksaan-peperiksaan lain yang penting untuk anak-anak  ialah:
 
1. Berpuasa sunat pada hari anak-anak menduduki peperiksaan.
Antara doa yang paling dimakbulkan oleh Allah ialah doa ibubapa. Doa orang yang berpuasa juga amat mudah dimakbulkan oleh Allah. Jadi jika ibubapa yang berpuasa dan mendoakan kejayaan untuk anak-anaknya pastilah lebih makbul.
 
2. Lakukan solat taubat dan solat hajat.
Lakukan solat sunat taubat dan solat hajat memohon agar anak tenang serta dapat jawab semua soalan peperiksaan dengan cemerlang.
Allah amat suka hambaNya yang seringkali bertaubat. Jadi pastinya doa yang tulus ikhlas daripada orang yang bertaubat akan mudah diperkenankan Allah.
 
3. Baca Quran dan hadiahkan pahala kepada anak.
Baca Quran dan pahalanya diniatkan untuk dihadiahkan kepada anak-anak yang sedang menduduki peperiksaan agar terang hati dan tenang fikiran.
 
4. Lakukan solat Dhuha
Lakukan solat dhuha di pejabat, di rumah ataupun di surau sekolah sewaktu menunggu anak-anak yang sedang berjuang di dewan peperiksaan. Doalah untuk kejayaan anak di dalam solat dan selesai solat.
 
5. Sedekah di masjid, rumah anak yatim dan hadiahkan pahala untuk anak.
Semoga amalan ini akan memudahkan doa ibubapa untuk kejayaan anak-anak dalam peperiksaan akan mudah termakbul. Ini adalah kerana amalan sedeqah amat disukai Allah. Orang yang menerima sedeqah ini juga mungkin akan mendoakan kejayaan dan kesejahteraan pemberi sedeqah.
 
6. Berterusan berzikir dan berdoa.
Samada anda berada di pejabat, di rumah ataupun di sekolah menunggu anak-anak yang sedang berada di dewan peperiksaan, jangan putus-putus berzikir dan berdoa kepada Allah untuk kejayaan anak-anak di dewan peperiksaan.
Allah akan mengingati kepada hambaNya yang mengingati lebih daripada hambaNya mengingatiNya. Moga amalan berzikir dan berdoa dengan berterusan ini akan memudahkan Allah memakbulkan doa kita supaya anak-anak berjaya dalam peperiksaan.
 
7. Hantar gelombang positif kepada anak.
Ini adalah law of attraction dan law of vibration. Kita yakin dan bayangkan yang positif. Bayangkan wajah anak dan yakin dia dapat jawab semua soalan dengan tepat. InsyaAllah mereka berjaya di dewan peperiksaan.
Hadith Qudsi, Allah berfirman:
“Aku berada dalam sangkaan hamba-Ku tentang Aku, dan Aku bersama-nya ketika ia menyebut Aku. Bila ia menyebut Aku dalam dirinya, Aku menyebut dia dalam Diri-Ku. Bila ia menyebut Aku dalam khalayak, Aku menyebut dia dalam khalayak yang lebih baik dari itu. Bila ia mendekat kepada-Ku satu jengkal, Aku mendekat kepadanya satu hasta. Bila ia mendekat kepada-Ku satu hasta, Aku mendekat kepadanya satu depa. Bila ia datang kepada-Ku berjalan kaki, Aku datang kepadanya berlari-lari”.
(HR. Al-Bukhari, Muslim, Ibn Majah, At-Tirmidzi, Ibn Hanbal)
8. Benar-benar bertawakkal kepada Allah dan redha dengan segala ketentuanNya.
Setelah segala usaha kita dan anak kita buat sepanjang tahun sebagai usaha untuk menghadapi peperiksaan ini, inilah masanya kita bertawakkal kepada Allah yang maha mengetahui.

Moga amalan oleh ibubapa semasa anak di dalam dewan peperiksaan ini ataupun peperiksaan-peperiksaan lain akan memberi kejayaan yang didambakan. Ia juga akan dapat memberi ketenangan kepada anak yang sedang berjuang di dalam dewan peperiksaan dan juga kepada ibubapa yang menunggu di luar.
 
Segala hasilnya nanti kita serahkan kepada Allah jua. Moga Allah jayakan semua anak-anak yang sedang meduduki peperiksaan. Aameen,

 

3 comments:

Unknown said...

mohon share, tqvm

aku jamak said...

Minta izin copy ya tuan admin...terima kasih.

Unknown said...

Sy izinkan....
sy pun ambil dari blog kekwn yg lain...